Sahabat ღ Selamanya

_______________________[ Subscribe to Sahabat ღ Selamanya by Email ]________________________

Al-Imam al-Syafi’I Menentang Ilmu Kalam


Al-Imam al-Syafi’I Menentang Ilmu Kalam
‘Aqidah yang diajar oleh Nabi s.a.w adalah ‘aqidah yang bersih dan mudah difahami. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan ‘aqidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk dimengertikan oleh semua lapisan umat. Ini kerana persoalan ‘aqidah mesti difahami oleh mereka yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai. Kalaulah perbahasan ‘aqidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?!!. Malangnya kemasukan pengaruh Yunan ke dalam pemikiran sebahagian umat Islam telah menyebabkan mereka menjadikan ilmu kalam sebagai ‘aqidah dan meminggirkan persoalan-persoalan asasi dalam ‘aqidah Islamiyyah. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ianya bukannya ‘aqidah….Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah ‘aqidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” ( Dr Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Dai‘iyah, m.s. 92, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut).

Golongan ahli falsafah dalam penulisan mereka memulakan perbahasan dengan ilmu mantiq ( Ilmu mantiq yang berasal daripada Yunan ini kononnya untuk menjadikan cara fikir betul dan berperaturan)(ilmu lojik akal) kemudian ilmu tabiat ( Ilmu ini membahaskan tentang tabiat atau sifat semula jadi sesuatu dan kekuatannya), kemudian ilmu hisab kemudian kepada ilmu ketuhanan. Maka kita lihat ahli-ahli ilmu kalam yang terpengaruh dengan pemikiran ahli falsafah ini mengikuti cara yang sama dalam penulisan dan perbahasan mereka mengenai tauhid. Mereka memulakan perbahasan mereka dalam ilmu kalam dengan bab al-Nazr النظر (pemerhatian), ilmu dan dalil. Ini adalah sebahagian daripada ilmu mantiq. Kemudian mereka akan membahaskan tentang baharunya alam dan membuktikan kebaharuannya. Kebanyakan ahli falsafah meluaskan perbahasan mereka mengenai ilmu tabi‘at. Kemudian mereka meningkat kepada perbahasan mengenai cakerawala atau falak dan hal-hal berkaitannya. Kemudian golongan yang mencari tuhan dari kalangan mereka meningkat kepada persoalan wajib al-wujud (wajib wujud), kemudian mengenai akal dan diri. Inilah yang dilakukan oleh ahli ilmu kalam.

Kemuncak dan tujuan daripada perbahasan tauhid ilmu kalam ialah untuk membuktikan keesaan Allah dan tiada sekutu baginya. Mereka menyangka ini yang dimaksudkan dengan tuntutan La ila illa Allah ( Lihat: Dr Sulaiman al-Asyqar, Al-‘Aqidah fi Allah m.s 32-33, cetakan Maktabah al-Falah, Kuwait).

Adapun manhaj al-Quran yang diturunkan Allah menjadikan pembukaan dakwah keseluruhan para rasul ialah dakwah kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah, atau yang kita namakan Tauhid al-Uluhiyyah atau Tauhid al-‘Ibadah. Tidak berpada sekadar membahaskan keesaannya, tetapi kemuncak tauhid ialah pengabdian diri hanya kepada Allah. Firman Allah :
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِي
(terjemahannya) Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu” ( Surah al-Anbiya: 25).

Semua rasul menyeru kaumnya kepada ibadah:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنْ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

(terjemahannya): Dan sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. ( Surah al-Nahl: 36)

Sumber ilmu untuk mengenali Allah dan alam ini ialah Allah itu sendiri seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Mengenali Allah membawa insan mengenali segala-galanya. Mengetahui kalam Allah dan kalam al-Rasul seseorang akan mengenali Allah dengan tepat, bukan dengan mantiq Yunan. Justeru itu al-Imam al-Bukhari sebelum memulakan kitab al-Iman dan al-‘Ilm (ilmu) mendahulukan kitab Bad`i al-Wahy بدء الوحي (bermulanya wahyu).

Maka dakwah kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah adalah kemuncak dakwah para Rasul. Di dalamnya terkandung makna mengenali Allah dan bertauhid untukNya. Adapun sekadar mengakui keesaan Allah dan hanya Dialah pencipta seperti yang dituntut dalam ilmu kalam, itu hanya satu juzuk daripada manhaj al-Quran tetapi bukan keseluruhannya. Al-Quran menyeru agar ditauhidkan Allah dan mengakuinya hanya Dialah pencipta. Inilah yang kita namakan dengan Tauhid al-Rububiyyah. Namun ini tidak mencukupi. Ianya hendaklah disempurnakan dengan Tauhid al-Uluhiyyah yang memutlakkan ibadah dan tauhid hanya kepadaNya. Ini menuntut antaranya ( Lihat: Dr. Muhammad Na‘im Yasin, Al-Iman, m.s. 24-27, cetakan Jordan) agar kita;

i. Mengikhlaskan cinta kepada Allah.
ii. Hanya berdo‘a, bertawakkal dan berharap kepadaNya dalam perkara-perkara yang hanya Dia mampu melakukannya.
iii. Hanya takut yang mutlak kepadaNya.
iv. Untuk Allah sahaja seluruh ibadah.

Tauhid inilah yang terkandung dalam hakikatnya keseluruhan tauhid yang lain; al-Rubbiyyah dan Tauhid al-Asma wa al-Sifat ( Ibid, m.s. 22). Inilah seruan para rasul.

Kalau sekadar mengakui Allah sebagai pencipta sudah memadai, tentulah golongan musyrikin sudah memenuhi tuntutan tersebut. Firman Allah menceritakan hal musyrikin:
قُلْ لِمَنْ الْأَرْضُ وَمَنْ فِيهَا إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(84)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ(85)قُلْ مَنْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ(86)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ(87)قُلْ مَنْ بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ يُجِيرُ وَلَا يُجَارُ عَلَيْهِ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(88)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ فَأَنَّا تُسْحَرُون َ
(terjemahannya) Tanyakanlah (wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (insaf)? "Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?" Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!" Mereka akan menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". Katakanlah: "Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?" ( Surah al-Mu`minun : 84-89)

Firman Allah juga:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمـَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلْ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
(terjemahannya): Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). ( Surah Luqman: 25)

Kata Ibn Abi al-Izz al-Dimasyqi ( w. 792H): “Tiada di sana golongan yang menetapkan bagi alam ini dua pencipta yang sama. Namun begitu, ahli kalam, nazr ( Gelaran untuk ahli kalam. Bermaksud golongan yang membuat pemerhatian dan kesimpulan) dan falsafah bersusah payah menetap dan membuktikan hal ini (bahawa bagi alam hanya satu pencipta ( Keyakinan bagi alam hanya satu pencipta adalah fitrah insan, yang tidak berhajatkan kepada hujah golongan ahli kalam dan falsafah)) ( Ibn Abi ‘Izz, Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, 1/28, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut).

Ini disebabkan kekeliruan mereka dalam memahami tauhid al-Uluhiyyah atau disebut al-ilahiyyah ( Lihat: ibid, ½). Akhirnya kita lihat perbahasan tauhid secara ilmu kalam tidak membawa seseorang kepada keimanan yang teguh dan berwaspada terhadap syirik serta perkara yang membatalkan iman. Sebab itulah ramai yang menghafal ilmu kalam, tetapi mereka masih lagi tidak mengikhlaskan tauhid kepada Allah kerana sangkaan cukuplah dengan mengakui Allah sebagai tuhan dan pencipta.

Lebih daripada itu perbahasan tauhid secara ilmu falsafah dan kalam telah mengheret sebagaian besar golongan umat Islam ke dalam kancah perbahasan ketuhanan yang menyanggahi dasar-dasar yang terkandung dalam al-Quran dan l-Sunnah. Al-Imam al-Syafi`I samalah seperti imam-imam Ahl al-Sunnah yang lain, mereka mengutuk dan mencerca ilmu ini. Bahkan cercaan al-Imam al-Syafi`I terhadap falsafah dan kalam paling banyak diriwayatkan dibandingkan imam-imam yang lain. Antara katanya:

-لو عَلِم النّاس ما في الكلام من الأهواءِ لفَرُّوا منه كما يَفِرُّون من الأسد
(maksudnya) “Kalaulah manusia tahu hawa nafsu yang ada dalam ilmu kalam nescaya mereka akan lari daripadanya seperti mana mereka lari daripada singa. ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/16)

- وما شيءٌ أبغض إليّ من الكلام وأهله
(maksudnya) “Tiada sesuatu yang lebih aku benci dari ilmu kalam dan ahlinya. ( Ibid, 10/19)
يا ربيع اقبل مني ثلاثة لا تخوضن في أصحاب رسول الله r فإن خصمك النبي r غدا ولا تشتغل بالكلام فإني قد اطلعت من أهل الكلام على التعطيل ولا تشتغل بالنجوم

(maksudnya): Wahai Rabi’ ! ( Beliau adalah al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi , imam, muhaddith, faqih, anak murid al-Imam al-Syafi`I dan pewaris ilmunya. Lahir pada 174H, meninggal 270H. (Al-Zahabi. Siyar ‘Alam al-Nubala`, 12/587.)) Ambillah daripadaku tiga perkara. (pertama) jangan masuk campur memperkatakan mengenai sahabah-sahabah RasululLah s.a.w ( Maksudnya mengenai pertelingkahan yang berlaku di kalangan mereka) kerana sesungguhnya besok yang akan menjadi musuh kamu ialah Nabi s.a.w. (kedua) jangan kamu sibuk dengan ilmu kalam, kerana sesungguhnya aku telah melihat ahli ilmu kalam melakukan ta’til ( Ta’til bermaksud menafikan makna yang sahih pada sifat Allah tanpa diganti dengan makna yang lain. (lihat: Salih al-Fauzan, Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, m.s. 14, cetakan Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh) . (Ketiga) jangan engkau menyibukkan diri dengan ilmu bintang. ( ibid, 10/2)

-حكمي في أهل الكلام حكم عمر في صبيغ
(maksudnya): Hukumanku terhadap ahli kalam ialah hukum ‘Umar (ibn Khattab) terhadap Sabigh" ( Al-Zahabi, op.cit. 10/29) – (Namanya Sabigh bin ‘Isl al-Hanzali. Dia datang ke Madinah dan bertanyakan tentang ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Quran. Dia dipukul oleh Saiyyidina ‘Umar dengan pelepah tamar kering sehingga berdarah kepalanya. Dia berkata: “Cukuplah wahai amir al-mu`minin, telah hilang apa yang ada dalam kepalaku”. (lihat Tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/29)) .
-حكمي في أهل الكلام أن يُضرَبوا بالجريد ويُحمَلوا على الإبل ويُطاف بهم في العشائر ينادى عليهم: هذا جزاء من ترك الكتاب والسنة وأقبل على الكلام

(maksudnya) “Hukumanku terhadap ahli kalam ialah hendaklah dipukul dengan pelepah tamar ( Jarid asalnya bermaksud pelepah tamar yang dibuang daunnya), diletak di atas unta dan dibawa mengelilingi orang ramai dengan diseru: Inilah balasan sesiapa yang meninggalkan kitab Allah dan sunnah lalu mengadap kepada ilmu kalam. ( Al-Zahabi, Siyar’Alam al-Nubala, 10/29)
-لو أن رجلا أوصى بكتبه من العلم لآخر وكان فيها كتب الكلام لم تدخل في الوصية لأنه ليس من العلم

“Jika seseorang berwasiat memberikan buku-buku ilmunya kepada seseorang. Di dalam buku-buku tersebut ada buku-buku kalam, maka ianya tidak termasuk dalam wasiat berkenaan. Ini kerana buku-buku kalam tidak termasuk dalam ilmu. ( Al-Zahabi, op.cit. 10/30)

Di sana banyak lagi ucapan-ucapan beliau yang menggambarkan pendiriannya yang menentang ilmu kalam dan inilah pendirian para ulama hadith sejak dahulu.

Sahabat ღ Selamanya

[ Grab this Headline Animator ]