Sahabat ღ Selamanya

_______________________[ Subscribe to Sahabat ღ Selamanya by Email ]________________________

Pembela Sunnah RasululLah s.a.w.

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi`I.Pembela Sunnah RasululLah s.a.w.

Pengenalan Umum

Al-Imam al-Syafi`I (150H-204H) seperti yang disebut oleh al-Zahabi (w. 748H) الذهبي :
محمد بن إدريس بن العباس بن عثمان بن شافع بن السّائب بن عُبَيد بن عبد يزيد بن هشام بن المُطَلِّب بن عبد مناف بن قُصَيِّ بن كلاب بن مُرَّةَ بن كعْب بن لُؤَيِّ بن غالب الإمام عالم العصر ناصر الحديث فقيه الملّة، أبو عبد الله القَرَشِيّ ثم المطَلِّبي الشافعي المكي، الغَزِّي المولد، نسيب رسول الله r.
Muhammad bin Idris bin ‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hisyam bin al-Mutallib bin ‘Abd Manaf bin Qusaiy bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Luaiy bin Ghalib. Beliau adalah Imam, ‘alim zamannya, pembela sunnah, faqih agama, Abu ‘Abd Allah al-Qurasyi (keturunan Quraisy), juga al-Mutallibi (keturunan al-Mutallib) al-Syafi‘I (keturunan al-Syafi‘I) al-Makki. Kelahiran Ghazzah, bernasab (berketurunan) RasululLah s.a.w. ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala` , 10/5-6, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.)

Nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w. pada pada ‘Abd Manaf yang disebutkan namanya di atas. Syafi` pernah berjumpa Nabi s.a.w., namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim pada hari peperangan Badr. Beliau ditawan tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam . (Ibn Khallikan خلِّكان, Wafayat al-‘Ayan وفيات الأعيان, 2/312, cetakan Dar Ihya` al-Turath al-‘Arabi, Beirut.)

Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah غزة, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda, maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah . (Al-Zahabi, op. cit, 10/6)

Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan syair, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya . (Lihat: ibid, 10/6)

Sebagai peringatan di sana ada kitab yang dusta mengenai al-Rihlah ila al-Rasyid yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’i. Dalam kitab tersebut banyak riwayat-riwayat yang bohong dan karut. Antara ianya mencerita bahawa Al-Imam al-Syafi’I bertemu dengan al-Qadi Abu Yusuf (w 182H), tokoh utama mazhab Abi Hanifah di Baghdad, sedangkan al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal sebelum al-Imam al-Syafi’`I masuk ke Baghdad. Lebih buruk lagi ianya mencerita tokoh terkenal ulama Islam al-Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani (w 189H) dan juga al-Qadi Abu Yusuf merancang agar dibunuh al-Imam alSyafi`I dengan membuat tuduhan terhadapnya di hadapan khalifah. Ini adalah fitnah yang besar terhadap kedua imam yang agung tersebut. Kedudukan kedua-dua imam yang agung itu memustahilkan mereka melakukan perkara yang seperti itu.

Bahkan di dalam kitab tersebut berbagai pembohongan lagi . (Lihat: Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` كشف الخفاء, 2/401-402, cetakan Dar Ihya al-Tutath al-‘Arabi, Beirut). Ini semata-mata untuk memperlihat taksubnya kepada imam al-Syafi`i. Ini semua datangnya datang daripada ‘Abd Allah bin Muhammad al-Balawi, seorang pendusta. Malangnya beberapa tokoh telah memetik apa yang diriwayatkannya tanpa menjelaskan pembohongan isi kandungannya. Termasuklah antara mereka al-Imam al-Baihaqi (w. 458H) di dalam Manaqib al-Syafi’i ( Lihat: Syu‘aib al-Arnaut, Tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/78-79). Bahkan menurut Al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) al-Imam al-Syafi’I datang ke Bahgdad pada tahun 184H. Beliau telah berdialog dengan al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di hadapan khalifah Harun al-Rasyid. Muhammad bin al-Hasan memuji al-Imam al-Syafi`I disebabkan kebijaksanaannya. Sehingga beliau memuliakan al-Imam al-Syafi’I dan mengambilnya sebagai tetamu. Adapun Al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal setahun, atau dua tahun sebelum itu (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/263, cetakan Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah, Beirut).

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam memetik kisah-kisah para ulama yang lampau agar tidak terfitnah mereka yang tidak bersalah hasil daripada sikap golongan yang taksub lagi jahat.

‘Aqidah al-Imam al-Syafi`i.


Al-Imam al-Syafi`I berakidah dengan aqidah Ahl al-Hadith dan beliau amat membenci ilmu kalam dan falsafah. Ahl al-Hadith atau disebut sebagai Ashab al-Hadith أصحاب الحديث berpegang kepada aqidah yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadith. Mereka menolak berfalsafah dalam aqidah seperti yang dibuat oleh ahli ilmu kalam. Mereka tidak membicarakan sifat-sifat Allah luar daripada ajaran al-Kitab dan al-Sunnah. Ahl al-Hadith (Ahl al-Hadith adalah juga nama kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang disebut sebagai al-firqah al-Najiyyah) bermaksud “mereka yang mementingkan hadith RasululLah s.a.w; samada dari segi riwayah dan dirayah (periwayatan atau kefahaman). Mereka bersungguh-sungguh mengkaji hadith-hadith Nabi s.a.w dan meriwayatkannya. Mereka mengikuti kandungannya dalam ilmu dan amalan. Mereka beriltizam dengan sunnah dan menjauhi bid‘ah. Mereka berbeza dengan Ahl al-Ahwa` أهل الأهواء (golongan yang berpegang dengan hawa nafsu) yang mengutamakan pendapat golongan yang sesat melebihi ucapan-ucapan RasululLah s.a.w. Golongan Ahl Ahwa` mendahulukan akal mereka yang rosak, mantiq (ilmu lojik akal) mereka yang bercanggah dan ucapan meraka yang bertentangan melebihi apa yang dibawa oleh al-Quran dan al-Sunnah” ( Al-Misri: Muhammad ‘Abd al-Hadi, Ma‘alim al-Intilaqah al-Kubra m.s. 49, cetakan Dar Taiyibah, Riyadh).

Kata al-Imam Abu ‘Uthman al-Sabuni (w. 449H): “Ashab al-Hadith yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah –semoga Allah memelihara mereka (ashab al-Hadith) yang masih hidup dan merahmati mereka yang sudah meninggal-bersaksi keesaan untuk Allah sementara kerasulan dan kenabian untuk Rasul s.a.w. Mereka mengenali tuhan mereka azza wa jalla dengan sifat yang dinyatakan oleh wahyu dan kitabNya. Juga apa yang disaksikan oleh RasulNya s.a.w. , berdasarkan apa yang dinyatakan dalam riwayat-riwayat sahih, dan yang diambil daripada baginda melalui para rawi yang adil lagi dipercayai. Ashab al-Hadith menetapkan bagi Allah jalla jalaluh apa (sifat-sifat dan nama-nama) yang Allah tetapkan untuk dirinya di dalam kitabNya dan atas lisan RasulNya s.a.w. Mereka tidak beriktikad dengan tasybih (menyamakan) sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya..” ( Abu ‘Uthman al-Sabuni, ‘Aqidah al-Salaf Ashab al-Hadith, m.s. 26, cetakan Maktabah al-Ghuraba` al-Athariyyah, Madinah)

Kata al-Imam al-Syafi`I : “Pegangan dalam sunnah RasululLah yang aku berada di atasnya, dan aku lihat sahabat-sahabat kita (para ulama) berada di atasnya, mereka itu ahl al-Hadith yang aku telah lihat dan mengambil daripada mereka seperti Sufyan bin ‘Uyainah عيينة, Malik ( Maksudnya al-Imam Malik bin Anas r.h) dan selain mereka ialah:

-Ikrar dengan syahadah bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah, dan Muhammad itu RasululLah. Sesungguhnya Allah di atas ‘arasyNya di langit. Dia menghampiri sesiapa yang dikehendakiNya di kalangan makhluk-makhlukNya dengan cara yang Dia kehendaki.
-Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti mana yang Dia kehendaki.
-Bagi Allah itu nama-nama dan sifat-sifat. Ianya didatangkan oleh kitabNya, dan Nabi pula memberitahunya kepada umat. Tidak boleh untuk seseorang dari makhluk Allah Ta‘ala yang telah ditegakkan ke atasnya hujjah (bermaksud telah dijelas dan terangkan kepadanya dengan hujah atau dalil yang kukuh), menolaknya. Ini kerana ianya telah dinyatakan di dalam al-Quran, dan ada sabda yang sahih daripada RasululLah mengenai hal ini, yang diriwayatkan daripada golongan yang adil. Sesiapa yang menyanggahinya selepas thubut hujah (bermaksud dia telah mendengar hujah yang terang dan kukuh) ke atasnya, maka dia seorang kafir. Adapun sebelum thubut hujah ke atasnya maka dia dimaafkan kerana jahil. Ini kerana ilmu dalam masalah ini tidak dapat diperolehi hanya dengan akal, atau pandangan, atau fikiran. Tidak dikafirkan sesiapa yang jahil mengenainya. Melainkan setelah thubut berita ( Maksudnya berita mengenai hal tersebut sampai dengan jelas dan kukuh) tersebut sampai kepadanya. Kita menetap (bagi Allah) sifat-sifat ini ( Maksudnya sifat-sifat Allah yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah) dan menafikan terhadap Allah tasybih ( Menyamakan Allah dengan makhluk) seperti mana Dia menafikan tasybih terhadap diriNya, firmanNya:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
(terjemahannya: “Tiada sesuatu pun yang sama denganNya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat) ( Surah al-Syura:11)

-Kekhalifahan Abu Bakr telah Allah putuskan di langitNya. Dia telah menghimpunkan atas kekhalifahan Abu Bakr semua hati para sahabat NabiNya s.a.w. ( Al-Imam al-Syafi`I, Wasiyyah al-Imam al-Syafi`I, m.s 53-58, cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut)

Aqidah Ahl al-Hadith adalah ‘aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Ianya adalah ‘aqidah yang diasaskan oleh Nabi s.a.w bukan diasaskan oleh sesiapa. Sumber ‘aqidah adalah al-Quran dan al-Sunnah. Maka Ahl al-Hadith ‘aqidah mereka diasaskan semenjak kedua sumber tersebut wujud di atas muka bumi. Inilah ‘aqidah yang dipegang oleh para sahabah dan mereka yang mengikuti sahabah. Kata al-Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Dahlawi al-Madani (w. 1375H): “Sesungguhnya jalan golongan Ahl al-Hadith bukanlah satu mazhab baru, bahkan ia adalah yang paling asal yang berada di atasnya RasululLah s.a.w. Baginda mewariskannya kepada sahabah-sabahahnya yang agung. Sesungguhnya sahabah r.a. telah mengajar jalan ini kepada mereka yang menganut Islam di tangan mereka” ( Ahmad al-Dahlawi al-Madani, Tarikh Ahl al-Hadith, m.s. 29, cetakan Maktab al-Ghuraba` al-Athariyyah, Madinah).

Adapun dakwaan yang menyatakan al-Imam al-Syafi’I berakidah dengan apa yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-‘Asy‘ari adalah tidak benar. Ini kerana al-Imam al-Syafi`I meninggal pada tahun 204H ( Lihat: Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala` , 10/76), adapun al-Imam Abu al-Hasan al-‘Asy‘ari lahir pada 260H dan meninggal pada 324H ( Lihat: ibid 15/85-86). Al-Imam al-Syafi‘I meninggal 50 tahun sebelum kelahirannya. Kalau Ahl al-Sunnah itu baru sahaja diasaskan pada zaman Abu al-Hasan al-‘Asy ‘ari, bagaimana dengan aqidah para imam yang wafat sebelum daripada kelahiran beliau, termasuklah kesemua imam yang empat?!!.

Adapun dakwaan menyatakan bahawa al-Imam al-Syafi`I terpengarauh dengan Syi’ah seperti yang disebut oleh mereka yang membencinya pada zamannya dan buku-buku segelintir pengikut mazhab fiqh yang lain ( Segelintir tokoh-tokoh pada zaman dahulu menuduh al-Syafi`I sebagai syi`ah disebabkan beberapa pandangannya di dalam masalah furu’ yang menyamai pandangan golongan Syi`ah, seperti masalah membaca basmalah secara jahr (terang) dan qunut subuh. (lihat: Al-Zahabi, Al-Ruwah al-Thiqat, 1/31, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut)). Adalah disebabkan salah faham, atau taksub kepada mazhab mereka dan membenci al-Imam al-Syafi`I. Dakwaan ini adalah palsu. Kata al-Imam al-Zahabi (w. 748H): “Sesiapa yang menyatakan al-Syafi`I menganut Syi`ah maka dia adalah pendusta. Dia tidak tahu apa yang dia ucapkan”. Katanya juga: “Sekiranya beliau itu syi`ah –beliau sebenar jauh dari itu semua- beliau tidak akan menyatakan bahawa al-Khulafa al-Rasyidin itu lima; bermula dengan Abu Bakr al-Siddiq dan diakhiri dengan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz” ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/58-59)
Al-Imam al-Syafi’I Menentang Ilmu KalamBerpegang Kepada Sunnah dan Meninggalkan TaksubHukum Berzikir dan Berdoa dengan meninggikan suara secara Jamaah

Sahabat ღ Selamanya

[ Grab this Headline Animator ]